Thursday 16 February 2012

Konsep Nazar Dalam Islam








BERNAZAR











         BERNAZAR untuk mendapat kejayaan di dalam sesuatu perkara yang dihajati merupakan satu amalan yang telah sebati dalam masyarakat Islam. Walaupun bernazar itu sudah menjadi seperti suatu tradisi dan kelaziman, namun roh dan konsep sebenar nazar sebagai salah satu wahana bagi seseorang insan mendekatkan diri kepada Allah SWT hendaklah tidak dilupakan.


         Perkataan NAZAR dari segi bahasanya ialah janji melakukan kebaikan ataupun keburukan. Dari sudut syarak, nazar ialah janji melakukan kebaikan secara khusus. Nazar menurut istilah fuqaha pula bererti mewajibkan diri melakukan ibadah yang tidak diwajibkan oleh syarak secara mutlak ataupun ibadah yang bergantung kepada perkara yang lain.

Ini adalah berasaskan daripada firman Allah SWT yang bermaksud, "Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azabnya seksanya merebak di sana sini. (al-Insan: 7) Begitu jua dengan sabda Rasulullah SAW daripada Aishah r.a. yang bermaksud: Sesiapa yang bernazar untuk taat kepada Allah maka taatlah akan-Nya, dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat kepada-Nya maka janganlah membuat maksiat kepada-Nya. (riwayat Al-Bukhari)



       Nazar adalah disyariatkan dan ia termasuk ibadat yang wajib dilaksanakan oleh orang yang bernazar. Sebab itulah para fuqaha menyatakan bahawa nazar tidak sah dilakukan oleh orang kafir.Namun adalah lebih afdal seseorang itu melakukan ibadat yang mahu dilakukannya tanpa mewajibkan perkara itu ke atas dirinya dengan menjadikannya sebagai nazar.Nazar dikategorikan kepada 3 jenis iaitu nazar al-lajjaj (keras kepala), al-mujazah (ganjaran) dan al-mutlaq.





1) Nazar Al-Lajjal



:-berlaku dalam keadaan pertengkaran dan ia terbit hasil daripada kemarahan. Contohnya, sekiranya seseorang bercakap dengan seseorang yang lain, maka atas nama Allah wajib ke atas ku puasa sebulan.

Nazar jenis ini ada dua keadaan dari satu sudut ia seperti bersumpah tidak mahu bercakap, dari sudut yang lain pula seperti nazar, maka orang yang bernazar boleh memilih sama ada tebus sumpah atau menunaikan nazarnya.




2) Nazar Al-Mujazah 

:- yang mana seseorang itu mensyaratkan kewajipan sesuatu ibadat dengan tercapainya sesuatu kehendak. Contohnya, jika ia sembuh daripada penyakit ini maka ia akan mewakafkan sebahagian daripada hartanya.

Apabila kehendak yang dinazarkan itu tercapai di mana Allah SWT menyembuhkan penyakitnya itu, maka orang yang bernazar wajib melaksanakan apa yang telah dinazarkan.





3) Nazar Al-Mutlaq 

di mana ia semata-semata hendak mendekatkan diri kepada Allah dan tidak didahului oleh apa-apa masalah.

Contohnya, atas nama Allah wajib ke atasku puasa pada hari Khamis. Nazar ini wajib dilaksanakan kerana nazar ini tiada pergantungan syarat dengan perkara lain.

Apabila nazar itu sah, maka orang yang bernazar wajib melaksanakan apa yang telah diwajibkan ke atas dirinya, apabila berlaku perkara yang dikehendakinya itu. Hukum ini adalah bagi nazar yang dikaitkan dengan tercapai sesuatu kehendak. Bagi nazar mutlak, dia bebas melaksanakannya secara mutlak (bila-bila masa).

Disunatkan menyegerakan pelaksanaan apa yang dinazarkan pada awal waktu dan ketika hadirnya peluang yang mengizinkan. Ini dilakukan sebagai cara untuk segera melepaskan diri daripada kewajipan tersebut.



Wallahualam....Semoga bermanfaat!~~Assalamualaikum..:)

No comments:

Post a Comment